GERIK: Anak gajah jantan yang dilaporkan mati selepas dilanggar lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini semalam, bukan haiwan sama yang terjatuh ke dalam longkang Julai tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, berdasarkan siasatan, lokasi kedua-dua haiwan itu ditemui adalah pada jarak yang jauh.
Malah katanya, anak gajah yang mati itu juga tidak dipasang dengan kolar penjejak (cip) seperti mana anak gajah yang diselamatkan di Batu 13, JRTB dekat Jeli, Kelantan.
“Bukan, semalam anak gajah yang lain. Anak gajah yang terjatuh ke dalam longkang itu kita ada pasang cip,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Julai lalu, video tular memaparkan operasi menyelamatkan anak gajah yang jatuh ke dalam longkang mencuri tumpuan apabila ibu kepada anak gajah itu dilihat tidak berganjak dari lokasi dan sabar menanti kerja-kerja menyelamatkan anaknya selesai.
Sementara itu mengulas mengenai video tular yang memaparkan perlakuan gajah betina yang dikatakan cuba ‘menolak’ kenderaan berat itu, Yusoff menyifatkan ia sebagai usaha mamalia tersebut untuk menyelamatkan anaknya.
“Dia mahu selamatkan anaknya sebab dia tahu anaknya berada di bawah lori dan mahu pergi (dari lokasi) bersama-sama.
“Gajah antara haiwan yang bersifat pelindung. Ada sebahagian haiwan, apabila terjadi sesuatu pada anaknya, dia akan tinggalkan tapi gajah tidak, dia akan tunggu,” ujar beliau.
Tambah Yusoff, Perhilitan mempunyai pasukan yang akan membuat rondaan dan pemantauan di sekitar JRTB bagi menghalau masuk haiwan liar itu ke dalam hutan.
Bagaimanapun katanya, keadaan muka bumi di kawasan itu yang agak bahaya dengan gaung di kiri kanan jalan selain gelap pada waktu malam serta kurang liputan komunikasi menyukarkan pasukan untuk sampai ke lokasi segera jika ada sesuatu yang berlaku.
“Potensi gajah keluar di JRTB ialah di antara Sungai Lebey hingga Jeli pada jarak sekitar 120 hingga 130KM dan biasanya kita akan siap sedia di lokasi paling kerap haiwan itu muncul di Batu 11 dekat Tugu Peringatan JRTB.
“Jadi, sekiranya pengguna jalan raya bertembung dengan haiwan liar sukar untuk mereka hubungi kita begitu juga agak sukar untuk kita sampai awal ke lokasi kerana keadaan jalan di mana perlu lebih berhati-hati atas faktor keselamatan,” katanya. – UTUSAN