PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk melibatkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Amaran yang berkuat kuasa sehingga 4.00 petang ini melibatkan sebilangan besar kawasan di seluruh negara, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Antara kawasan yang terlibat di Semenanjung ialah Perlis, Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Pulau Pinang serta Perak.
“Cuaca buruk turut dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
”Bagi negeri Kelantan, kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, di negeri Pahang, amaran cuaca buruk melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
Manakala di Selangor, kawasan yang diramalkan terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam pada itu, di Sabah, amaran melibatkan kawasan Pedalaman iaitu Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau; kawasan Pantai Barat seperti Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud; serta kawasan Tawau, Sandakan dan Kudat.
“Di Sarawak pula, ia membabitkan kawasan Sibu (Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu, Miri dan Limbang”, katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati, terutama ketika menjalankan aktiviti luar, dan diminta untuk sentiasa merujuk laman rasmi MetMalaysia serta aplikasi MyCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan cuaca semasa.-UTUSAN