Akta SPK perlu disemak semula bersama Perlembagaan

Akta SPK perlu disemak semula bersama Perlembagaan

AZALINA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semakan menyeluruh terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) termasuk kemungkinan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi memastikan ketelusan dan kejelasan dalam proses pelantikan kehakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang perubahan perlu dilihat dalam konteks kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, walaupun pelbagai pihak menyuarakan keperluan meminda akta tersebut.

“Akta SPK ini dari awal diwujudkan tanpa sebarang pindaan kepada Perlembagaan.

“Jadi, untuk apa-apa penambahbaikan atau perubahan, ia perlu melibatkan kajian menyeluruh termasuk sama ada kita mahu pinda akta sedia ada berserta Perlembagaan atau menggubal akta baharu yang sejajar dengan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog awam dan pelancaran AI Legal Justice Roadmap di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, hari ini.

Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.

Azalina menjelaskan Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam pelantikan kehakiman dan beberapa jawatan utama lain, menjadikan sebarang undang-undang yang bercanggah dengannya tidak berkuat kuasa.

“Dalam apa jua hal, Perlembagaan tetap lebih tinggi daripada mana-mana undang-undang lain. Walaupun pelantikan dibincang dan diluluskan di Parlimen, kuasa warta tetap pada Yang Dipertuan Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN