PETALING JAYA: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan penghargaan kepada Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang mengumumkan pengundurannya hari ini sebagai Menteri Ekonomi.
Ahmad turut memberikan nasihat secara umum agar tidak bergembira dengan kedukaan orang lain.
“Itu nasihat kepada saya oleh seseorang.
“Selamat meneruskan perjuangan atas pentas yang lain contohnya sebagai Ahli Parlimen Pandan,” katanya menerusi platform X.
Mohd. Rafizi yang merupakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya hari ini sebagai Menteri Ekonomi yang berkuat kuasa 17 Jun ini.
Beliau berkata, dirinya sudah tidak mempunyai mandat untuk melakukan reformasi selepas dikalahkan oleh Nurul Izzah Anwar dalam perebutan kerusi berkenaan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam Pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya. – UTUSAN