Abot, Rambai bantu jinakkan Yob Padang - Utusan Malaysia

Abot, Rambai bantu jinakkan Yob Padang

DUA ekor gajah denak membantu operasi memindahkan gajah liar (tengah) di Kampung Padang Stang, Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Dua ekor gajah betina dinamakan Abot dan Rambai digunakan bagi membantu dalam operasi memindahkan gajah liar jantan yang dilaporkan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Padang Stang, di sini hari ini.

Operasi memindahkan gajah dewasa seberat tiga tan berusia 45 tahun itu dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah liar diberi nama Yob Padang itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Rabu lalu.

Katanya, operasi mengesan gajah itu dilakukan susulan aduan penduduk kampung mengenai gangguan mamalia itu yang merosakkan kebun dan pokok getah.

“Gajah ini kemungkinan gajah tunggal yang masuk ke kawasan kampung untuk mencari makan.

“Operasi memindahkan haiwan itu tidak berdepan masalah kerana dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai berjaya ‘menjinakkannya’ dalam tempoh 15 minit,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi pemindahan gajah di Kampung Padang Stang, di sini hari ini.

Menurut Yusoff, Yob Padang yang mempunyai gading itu merupakan gajah paling besar yang pernah ditangkap di Perak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, seekor gajah jantan berusia 14 tahun dengan anggaran berat 1.5 tan yang ditangkap dalam operasi dekat Kampung Bongor turut dipindahkan semalam.

“Kedua-dua gajah tersebut akan dipindahkan ke habitat asal yang selamat. Pemantauan akan diteruskan di kawasan tersebut berikutan terdapat aduan berkaitan kehadiran mamalia itu,” katanya.

Tambah beliau, operasi yang tamat pada pukul 1.30 tengah hari itu disertai 12 kakitangan Perhilitan Perak, tiga kakitangan Perhilitan Johor dan 10 orang dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

Sementara itu, Ketua Kampung Padang Stang, Md. Shamsuri Shaari, 65, berkata, tangkapan gajah tersebut memberi kelegaan kepada penduduk yang dihantui kebimbangan berkaitan keselamatan mereka.

“Kehadiran gajah di kawasan ini boleh dikatakan kerap juga. Ada penduduk mendakwa kebun mereka rosak dimusnahkan haiwan liar ini.

“Kadang-kadang bila tahu kehadiran haiwan ini, penduduk takut untuk keluar menoreh kerana bimbang terserempak dengan gajah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN