789 polis trafik ditugaskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN

789 polis trafik ditugaskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

MOHD. YUSRI HASAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 539  aset Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dikerahkan untuk mengiring dan mengawal lalu lintas bermula 23 hingga 28 ini bersempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46. 

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ia membabitkan kira-kira 36 kenderaan peronda (MPV), 313 motosikal besar dan 190 motosikal kecil termasuk alat perhubungan radio. 

Katanya, seramai 789 petugas trafik terdiri daripada 55 pegawai kanan dan 734 anggota ditugaskan sepanjang persidangan berlangsung. 

“Kekuatan ini merangkumi bantuan sumber manusia JSPT daripada seluruh kontinjen iaitu seramai 497 orang termasuk Kuala Lumpur iaitu 292 orang.

“Semua petugas akan terlibat dengan raptai pada 21 hingga 22 Mei ini yang membabitkan elemen motoked, kawalan laluan, kawalan lokasi dan petugas pools,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Menurutnya, operasi penguatkuasaan juga akan dilakukan di sekitar ibu kota bagi memastikan tiada halangan pada laluan yang ditetapkan. 

Jelasnya, sebarang halangan lalu lintas atau parkir akan diambil tindakan ditunda oleh petugas trafik selain op samseng jalanan dan motosikal dilaksanakan secara berterusan.

“Kenderaan perdagangan atau kenderaan berat dilarang memasuki pusat bandar ketika waktu puncak iaitu pada 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 petang berkuat kuasa hari ini. 

“Kita akan melaksanakan tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis atau tugas polis di jalan awam melibatkan elemen keselamatan laluan antaranya motoked, titik tugasan, siasatan dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya,” katanya. 

Beliau mengingatkan pengguna-pengguna jalan raya supaya tidak melalui laluan-laluan yang terlibat dan menggunakan jalan-jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Orang ramai perlu merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas trafik dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN