PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan transformasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk saringan dan diagnostik kesihatan paru-paru.
Langkah itu dilaksanakan melalui Pelan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia 2025-2030 iaitu satu pelan strategik yang holistik berkaitan kesihatan paru-paru dengan tujuan memperkukuh aktiviti berkaitan pencegahan, saringan dan rawatan penyakit itu.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, modaliti saringan ini termasuk X-ray dada yang dilengkapi teknologi AI bukan sahaja mampu mengesan nodul pulmonari untuk kanser paru-paru, tetapi juga penemuan penyakit paru-paru lain termasuk Tuberkulosis.
Katanya, sebanyak tujuh buah klinik kesihatan (KK) akan memulakan saringan X-ray menggunakan teknologi AI ini iaitu KK Seberang Perai (Hospital Seberang Perai sebagai hospital rujukan); KK Kok Lanas (Hospital Tanah Merah); KK Beserah (Hospital Tuanku Ampuan Afzan) dan KK Luyang (Hospital Queen Elizabeth).
Selain itu ialah KK Kajang (Hospital Kajang); KK Batu 9 (Hospital Kajang) dan KK Pendang (Hospital Pendang dan Hospital Sultanah Bahiyah).
“Saringan untuk kanser paru-paru melalui X-ray dada AI akan disediakan di fasiliti kesihatan primer.
“X-ray dada AI menawarkan potensi besar sebagai alat saringan yang berkesan dari segi kos, mudah diakses dan pantas dengan ketepatan yang tinggi untuk pengesanan awal,” katanya pada sesi taklimat media berkenaan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030 di kementeriannya, hari ini.
Dzulkefly berkata, penemuan positif nodul pulmonari boleh dirujuk untuk imbasan CT (Low Dose CT Scan) dan biopsi untuk pengesahan.
Katanya, saringan kesihatan paru-paru adalah bertujuan bagi pengesanan awal dan juga meningkatkan kadar kelangsungan hidup, khususnya bagi kanser paru-paru.
“Navigasi pesakit perlu bermula seawal promosi dan pencegahan. Merokok, pendedahan alam sekitar dan pendedahan di tempat kerja adalah faktor risiko utama yang akan ditangani melalui strategi promosi dan pencegahan.
“Pengukuhan kawalan tembakau dan produk merokok selaras dengan Rangka Kerja WHO mengenai Konvensyen Kawalan Tembakau (WHO FCTC) adalah penting melihat kepada pencegahan primer yang lebih berkesan,” kataya.
Katanya, melalui pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-paru ini, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan, selaras dengan tonggak Kertas Putih Kesihatan yang menekankan transformasi perkhidmatan kesihatan serta memajukan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.
Jelasnya, pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-paru melibatkan kerjasama awam-swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta intervensi khusus di tempat kerja yang selaras dengan transformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Malaysia akan membawa resolusi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru ke peringkat global melalui Perhimpunan Kesihatan Antarabangsa (WHA) pada bulan ini.
“Dengan membawa resolusi ini ke peringkat WHA, maka sokongan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada negara-negara anggota WHO akan lebih terancang untuk meningkatkan usaha global dalam pencegahan, diagnosis awal, rawatan, dan kawalan penyakit paru-paru,” katanya. – UTUSAN