64 warganegara asing cuba masuk Malaysia ditahan

64 warganegara asing cuba masuk Malaysia ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 64 warga asing ditahan selepas cuba memasuki negara ini kerana gagal memenuhi syarat termasuk menggunakan dokumen palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, semua suspek lelaki dewasa itu berasal dari Bangladesh, India dan Pakistan.

Katanya, kesemua mereka ditahan dalam satu operasi pemantauan berkala oleh Unit Pemantau AKPS di lokasi membabitkan pemeriksaan rambang terhadap 330 individu dari pelbagai negara.

“Tumpuan diberikan kepada individu yang berkelakuan mencurigakan dan berlegar-legar di sekitar balai ketibaan tanpa terus ke kaunter pemeriksaan imigresen.

“Hasil siasatan lanjut di Pejabat Operasi mendapati kesemua 64 individu tersebut tidak memenuhi syarat kemasukan. 

“Beberapa daripada mereka turut dikesan menggunakan taktik penipuan bagi mengaburi pihak berkuasa, termasuk penggunaan dokumen palsu seperti tempahan hotel yang tidak sah serta tiket penerbangan pulang yang tidak wujud atau direka,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam masa terdekat.

Katanya, pemantauan dilaksanakan selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI), Arahan Pentadbiran dan arahan semasa bagi memastikan keselamatan serta kawalan sempadan negara berada pada tahap tertinggi.

“AKPS menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh usaha dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang unsur pencerobohan, penipuan mahupun ancaman lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN