60.7 hektar Pulau Silikon telah ditambak

60.7 hektar Pulau Silikon telah ditambak

KIRA-KIRA 6.5 peratus daripada keseluruhan 930.78 hektar tanah untuk projek Penang South Islands (PSI) bagi pembangunan Pulau Silikon di Pulau Pinang telah ditambak. - IHSAN PENANG INFRASTRUCTURE CORPORATION (PIC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kira-kira 60.7 atau hampir 6.5 peratus daripada keseluruhan 930.78 hektar tanah untuk projek Penang South Islands (PSI) bagi pembangunan Pulau Silikon telah ditambak setakat 30 April lalu selepas kerja penambakan bermula September 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, penambakan yang dilaksanakan dalam dua fasa itu dijangka mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

“Jumlah keluasan keseluruhan Pulau Silikon adalah sebanyak 2,300 ekar (930.78 hektar) dengan fasa satu melibatkan kerja-kerja tebus guna tanah seluas 1,260 ekar (510 hektar) manakala fasa dua pula melibatkan kawasan seluas 1,040 ekar (566.56 hektar),” katanya.

Zairil (DAP-Tanjong Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Kasim (Bersatu- Teluk Bahang) yang mahu kerajaan negeri menyatakan berapa peratus projek penambakan di Pulau Silikon ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, projek tambakan itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah kerana ia dijalankan sepenuhnya di kawasan laut.

Katanya, pengambilan tanah hanya berlaku di kawasan Permatang Damar Laut susulan pembinaan Lebuhraya Pan-Island Link 2A (PIL2A) Fasa 1 yang menghubungkan Batu Maung ke Pulau Silikon.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 13 lot tanah, 17 buah rumah kediaman, dua premis perniagaan, satu rumah kebajikan serta sebuah rumah ibadat telah terlibat dalam proses pengambilan tanah itu.

“Proses ini telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 8 Mei 2024 dan diwartakan pada 11 Julai 2024 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya.

Tambah Zairil, kesemua pemilik dan pihak berkepentingan juga telah menerima bayaran pampasan sewajarnya selepas proses penilaian dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) selain siasatan bersama oleh Pejabat Tanah Daerah pada Disember 2024.

“Majoriti pemilik (tanah) ini telah menerima pampasan melebihi RM1.5 juta bagi setiap lot, manakala tiga individu turut menerima bayaran ex-gratia sebanyak RM43,500 setiap seorang.

“Secara keseluruhannya, pampasan berjumlah RM24.15 juta telah dibayar, termasuk ex-gratia sebanyak RM130,500,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN