5 warga Filipina dipenjara guna kad pengenalan orang lain

5 warga Filipina dipenjara guna kad pengenalan orang lain

TUJUH warga Filipina iaitu lima lelaki dan dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana kesalahan menggunakan kad pengenalan individu lain serta palsu . - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima warga Filipina termasuk seorang wanita dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana kesalahan menggunakan kad pengenalan orang lain.

Kesemua tertuduh dihadapkan ke dua mahkamah berasingan.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap tertuduh iaitu dua beradik, Peter Camal, 45 dan Johari Camal, 48 ; serta Ajid Hasan, 43, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Alvin Faisal, 31, pula membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Nurul Saqinah serta dibenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.

Manakala, di kamar mahkamah berlainan, Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman penjara dua bulan kepada Aisar Hamjalin Katang, 40, dan Rasid Olek, 27.

Seorang lagi tertuduh yang juga mendakwa isteri kepada Alvin, Alsaida Hassan, 28, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Saiful serta tiada jaminan dibenarkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memiliki dan menggunakan dokumen pengenalan diri yang bukan kepunyaan mereka serta palsu di empat lokasi berasingan di sekitar Nilai antara pukul 7 malam hingga pukul 9 malam pada 6 Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),
Md. Shahedan Md Taib; Hairul Azlin Ahmad dan Zulkarnain Ahmad.

Pegawai pendakwa memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan itu boleh mengancam keselamatan negara dan mengambil hak keistimewaan rakyat Malaysia.

Sebaliknya lima tertuduh yang mengaku salah tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga di negara ini.

Sementara itu, kes bagi pasangan suami isteri berkenaan akan disebut semula pada 11 Jun ini bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN