32 kes pembalakan haram di 100 hektar hutan - EAIC

32 kes pembalakan haram di 100 hektar hutan – EAIC

AZLIZA ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sebanyak 32 kes pembalakan haram dikesan di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun lalu dengan keluasan kawasan hutan yang terjejas dianggarkan mencecah 100 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Azliza Ali berkata, ia melibatkan pelbagai bentuk pencerobohan termasuk pembalakan tanpa kebenaran, salah guna lesen serta ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan hutan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, seramai 368 individu ditahan melibatkan 299 warganegara dan 69 bukan warganegara termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kemboja dan Indonesia.

“Daripada jumlah itu, warga Indonesia merekodkan tangkapan tertinggi seramai 23 orang atau 33 peratus, diikuti Myanmar (19 orang), Bangladesh (11 orang) serta beberapa lagi dari negara seperti Singapura, China, Mexico, Ecuador, Vietnam dan etnik Rohingya,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di Pejabat Hutan Daerah Temerloh, di sini hari ini.

Azliza berkata, sesi libat urus itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik di bawah Pasukan Petugas Khas CPI yang diwujudkan bagi memperkukuh integriti agensi penguat kuasa menerusi pendekatan kolaboratif dan bersepadu.

Katanya, Pahang antara tumpuan utama EAIC berdasarkan aduan masyarakat dan laporan media berhubung kegiatan pembalakan haram yang masih berleluasa walaupun pelbagai operasi dijalankan.

“Antara kelemahan dikenal pasti adalah ketirisan maklumat, tindakan susulan yang lemah terhadap aduan awam serta ketiadaan sistem pemantauan yang efisien dan telus,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN