MEKAH: Pengalaman kali pertama seorang pemuda berusia 20 tahun kelahiran Kota Bharu menaiki bas seorang diri dari Mekah ke Madinah pada 1986 semata-mata memenuhi tanggungjawab sebagai petugas Tabung Haji (TH) menyantuni dhuyufurahman tidak dapat dilupakannya.
Malah, Mohamad Zamry Mohd. Noor, 60, tidak menyangka tindakannya itu membuka peluang menjadi petugas yang terlibat dalam 30 operasi haji Tanah Suci selama empat dekad berkhidmat di TH.
“Selalunya pengalaman kali pertama itu yang tidak dapat dilupakan. Bayangkan setahun selepas melapor diri menjadi kakitangan TH saya terlibat operasi haji di Tanah Suci.
“Pada awalnya saya mengalami kejutan budaya, dalam perjalanan ke Madinah itu saya tidak minum apatah lagi untuk makan kerana terlalu takut apabila berada di negara yang cukup asing. Ketika itu dunia bukan mempunyai internet seperti sekarang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat TH Mekah, baru-baru ini.
Ketika dalam perjalanan itu katanya, banyak pengalaman dialaminya termasuk diarah turun bas untuk diperiksa oleh pihak berkuasa, bas dinaiki rosak selain beg pakaiannya terjatuh ketika bas membelok di Madinah.
“Saya sedar tanggungjawab saya, kena juga hadir ke Madinah seorang diri selepas pesawat membawa petugas haji turun di Jeddah ketika itu,” katanya yang ketika itu bertugas sebagai kerani di Pejabat TH, Jalan Ipoh,
Mohamad Zamry menyatakan kesyukuran apabila sebelum ini diberikan kepercayaan oleh TH untuk menjalankan tugas tertinggi sebagai Pengarah Operasi Jeddah, Pengarah Operasi Mekah dan Pengarah Operasi Masyair.
“Saya berbangga dengan rekod peribadi ini selama 40 tahun berkhidmat dengan TH. Oktober ini saya akan bersara, jadi tahun ini saya diamanahkan sebagai Pengurus Khidmat Luar TH,” ujar bapa kepada lima anak dan datuk kepada tiga cucu itu.
Berkongsi mengenai bagaimana dia terpilih lebih 30 kali dalam operasi di Tanah Suci, ujarnya, dia percaya doa daripada jemaah haji itu sendiri adalah mujarab.
“Ketika memberi penerangan pulang kepada jemaah haji Malaysia, saya minta mereka doakan agar kita semua dijemput lagi ke sini. Berkat doa jemaah haji ini, alhamdulillah saya diberi peluang dan terpilih setiap tahun,” tambahnya. – UTUSAN










