19 penjara pantau banduan guna AI

19 penjara pantau banduan guna AI

ABDUL AZIZ ABDUL RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 18 buah penjara di negara ini akan menggunakan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) yang dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memantau pergerakan banduan.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, penggunaan SKEB berteknologi tinggi dalam pengoperasian penjara akan bermula akhir bulan ini bagi meningkatkan kawalan ke­selamatan dan kecekapan pengurusan pemantauan secara automatik dan pintar.

Sistem tersebut dapat memantau pergerakan penghuni yang berkeliaran tanpa tujuan di kawasan tertentu terlalu lama (loitering) selain mengesan tindakan agresif seperti pergaduhan atau ancaman fizikal.

“SKEB juga mampu mengenal pasti percubaan memanjat pagar keselamatan penjara atau tembok penjara sekali gus sistem ini dapat memastikan pengawasan yang efisien dan tindak balas pantas terhadap potensi ancaman keselamatan penjara,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, pemasangan SKEB turut diperluaskan di 25 institusi penjara lain di seluruh negara bagi keberkesanan kawalan memandangkan berhadapan isu kepadatan di penjara.

“Nisbah tepat bagi jumlah warden adalah 1/4, bagaimanapun, masalah kesesakan menyebabkan ada sesetengah penjara merekodkan nisbah 1/7 dan 1/9.

“Dengan adanya kemudahan ini, ia akan membantu keberkesanan kawalan keselamatan lebih baik bagi pegawai penjara ter­utama di penjara yang sesak,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Jabatan Penjara dalam peringkat cadangan penggunaan kamera badan terhadap warden penjara bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan mereka.

Menurutnya penggunaan kamera badan membolehkan perkhidmatan Jabatan Penjara dinaik taraf bukan sahaja kepada penghuni tetapi juga orang awam.

“Rakaman direkodkan menerusi kamera itu boleh dijadikan sebagai bukti sekiranya berlaku kejadian tidak diingini sekali gus menjelaskan situasi yang terjadi.

“Penggunaan teknologi ini bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan tetapi tahap integriti warga kerja jabatan ini,” katanya.

SKEB diperkenalkan oleh jabatan itu pada tahun 1996 di Penjara Sungai Buloh di mana ia merupakan sistem keselamatan berteknologi tinggi yang menggabungkan sistem elektronik dan perisian komputer untuk meningkatkan kawalan keselamatan fizikal penjara.

Ia membantu dalam pen­cegahan pencerobohan, pengesanan insiden, serta pengurusan dan penyimpanan maklumat keselamatan secara berpusat dan efisien.

Sistem ini dibangunkan pada tahun 1996 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau konsultan yang dilantik dengan mengambil kira reka bentuk dari penjara luar negara seperti Australia, UK, Hong Kong, Singapura dan lain-lain.

Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri menyasarkan untuk memperluaskan penggunaan kamera badan kepada semua ejen penguat kuasa di bawah bidang kuasanya dan bukan hanya untuk polis sahaja.

Timbalan Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia sebahagian usaha meningkatkan integriti pegawai penguat kuasa yang berurusan dengan orang ramai.

Berucap di Dewan Rakyat, Shamsul berkata, agensi yang dicadangkan kelengkapan kamera badan ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN