Universiti Harvard tawar kursus usahawan guna klon AI pensyarah - Utusan Malaysia

Universiti Harvard tawar kursus usahawan guna klon AI pensyarah

PROGRAM keusahawanan menawarkan kursus keusahawanan guna teknologi AI. - Sekolah Perniagaan Harvard
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS) kini menawarkan program ke­usahawanan lapan minggu de­ngan tawaran harga sebanyak  $699 (RM2,823) kepada para pelajar dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Avatar klon pensyarah pusat pengajian tinggi berprestij itu digunakan untuk mengajar para pelajar yang mengikuti kursus itu..

Program dinamakan Harvard Business School (HBS) Foundry itu beroperasi secara atas talian 24 jam sehari dan terbuka kepada umum, tidak terhad kepada penuntut universiti itu sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan New York Times, program yang diperkenalkan sejak April lalu ini bertujuan meluaskan akses pendidikan ke­usahawanan Harvard kepada para pelajar di luar kampus.

Sebelum pendekatan itu di­perkenalkan, kemasukan sedia ada yang mengehadkan sekitar 900 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) sahaja setiap tahun.

Pembangunan klon AI itu dijayakan menerusi kerjasama dengan syarikat pembangunan avatar, HeyGen.

Klon AI tersebut dilatih khusus menggunakan bahan pengajaran dan metodologi tenaga pengajar Harvard, selain berupaya meng­akses maklumat global secara meluas mengikut keperluan topik.

Pengarah Projek Foundry, Katharina Rings memaklumkan bahawa maklum balas peserta setakat ini amat positif. 

Beliau menjelaskan bahawa peserta secara amnya menunjukkan kecenderungan dan tahap kepercayaan yang lebih tinggi apabila berinteraksi dengan ejen AI yang dibentuk berdasarkan keperibadian individu sebenar.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar kanan HBS yang secara sukarela mengklonkan dirinya, Jeff Bussgang mengaku bahawa teknologi tersebut agak pelik tetapi pelajar menyukai kemudahan dan fleksibiliti yang ditawarkan. 

Seorang wartawan New York Times, Sarah Kessler yang mencuba kursus berkenaan menggambarkan imej avatar Bussgang kelihatan begitu tenang dengan senyuman yang konsisten, walaupun pergerakan fizikalnya seperti bayangan baju dan pergerakan bahu masih sedikit kekok.

Selain modul dan sesi bim­bingan bersama ejen AI, program tersebut turut menyediakan sesi langsung mingguan yang dikendalikan oleh penceramah berpengalaman, pelabur, dan barisan pensyarah sebenar dari HBS. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN