14 cabang PKR di Kedah sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

14 cabang PKR di Kedah sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

MOHD ALTAB PA IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 14 daripada 15 cabang PKR di negeri ini menyatakan sokongan terhadap pencalonan Naib Presiden, Nurul Izzah  Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Ketua PKR Cabang Pokok Sena, Mohd. Altab Pa Ibrahim berkata, persetujuan itu diperoleh hasil perbincangan bersama 14 cabang berkenaan, malam tadi.

Katanya, antara yang menyatakan sokongan untuk Nurul Izzah adalah Cabang Langkawi; Merbok; Jerai; Pendang; Kubang Pasu; Kuala Kedah; Jerlun dan Padang Terap.

“Enam lagi cabang termasuklah Sik; Alor Setar; Baling; Sungai Petani dan Kulim Bandar Baharu serta Pokok Sena sendiri. Manakala Cabang Padang Serai masih belum memberi kata putus sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, perebutan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR jika berlaku kali ini, bukan tiket mereka yang terpilih untuk menjadi Presiden parti itu pada masa hadapan.

Menurut Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Zamri Yusuf, sebaliknya keutamaan mengisi kedudukan nombor dua dalam parti itu ketika ini adalah sebagai pendukung utama kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi PKR.

Sementara itu, Mohd. Altab berkata, Nurul Izzah bukan sekadar pemimpin tetapi sebagai nadi perjuangan reformasi sejak mula. 

Ujarnya, keteguhan beliau mengharungi cabaran demi menegakkan prinsip keadilan menjadikan Nurul Izzah lambang keberanian, kecekalan dan komitmen yang jitu dalam sejarah perjuangan PKR.

“Sebagai tokoh politik yang berwibawa, Nurul Izzah telah membuktikan dirinya sebagai suara rakyat dan simbol harapan buat seluruh rakyat Malaysia yang dambakan perubahan sistemik dan masa depan yang lebih adil. 

“Beliau bukan hanya membawa agenda Reformasi tetapi obor yang menyalakan semangatnya. Dengan ini, kami mengangkat Nurul Izzah sebagai calon terbaik untuk menerajui jawatan Timbalan Presiden dan yakin beliau akan terus membawa PKR menuju masa depan yang lebih gemilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN