Nahas berantai enam kenderaan, Proton Saga terbakar

Nahas berantai enam kenderaan, Proton Saga terbakar

ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kereta Proton Saga di Lebuh AMJ, Cheng Heights. FOTO IHSAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MELAKA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah kereta terbakar dalam satu kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lebuh AMJ, Cheng Heights di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superitenden Muhammad Zaki Ramat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.51 pagi yang melibatkan empat buah kereta, sebuah van dan sebuah lagi kenderaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Malim hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang sedang bergerak ke arah Bandar Melaka.

“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan berkenaan berpusing lalu melanggar beberapa kenderaan lain iaitu Toyota Vios, Perodua Bezza, sebuah van jenis Nissan serta sebuah lagi kereta jenis Toyota Camry sehingga menyebabkan keseluruhan enam kenderaan terlibat dalam kemalangan ini.

“Dalam kejadian itu, kereta Proton Saga terbabit turut terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, dua lelaki masing-masing berusia 63 dan 32 tahun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pemandu Proton Saga berkenaan bagaimanapun tidak berada di lokasi kejadian dan pihak polis kini sedang giat mengesannya bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN