KUALA TERENGGANU: Seramai 11 lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan dalam satu serbuan membanteras aktiviti pertaruhan sabung ayam di belakang sebuah rumah di Kampung Atas Tol, di sini, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, semua suspek yang berusia antara 32 tahun hingga 66 tahun ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Antara yang dirampas ialah empat ekor ayam jantan, sebuah bon laga ayam berwarna biru muda dan hitam, beg mengandungi jarum, benang serta pita pelekat perubatan berwarna merah, selain wang tunai berjumlah RM5,823,” katanya hari ini.
Beliau berkata, serbuan menerusi Op Dadu itu dijalankan sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – UTUSAN










