PETALING JAYA: “Satu dekad melalui jalan ini, kami tak pernah letak harga melampai keperluan. Sama sekali tidak menjadikan kami mahu hidup bermewah. Cukup saja untuk kelangsungan hidup.”
Demikian luahan anggota Caliph Busker yang kecewa ada pihak mengambil kesempatan dan menawarkan mereka harga RM500 untuk satu persembahan.
Jelas kumpulan itu, keberadaan mereak dalam industri seni masih dilihat enteng dengan tawaran harga tidak setimpal walaupun sudah 10 tahun sebagai anak seni.
“Harga kami bersesuaian bagi memenuhi keperluan persembahan selain dibahagikan bersama tiga anggota. Ada kalkulatornya termasuk kos pengangkutan, tenaga kerja, latihan dan juga segala kos yang perlu.
“Setelah selesai dan dibahagi sesama kami,” katanya.
Perkara tersebut dikongsi di laman Instagram rasmi milik kumpulan itu pada Rabu.
Dalam pada itu, Caliph Buskers menyifatkan penganjur tidak memahami keperluan mereka untuk membuat persembahan.
“Inilah hakikat yang perlu kami tempuh. Banyak kali juga terjadi apabila ada tawaran dari Kuala Lumpur. Mengajak kami jauh ke utara, hujung selatan semenanjung, merentas Banjaran Titiwangsa ke Pantai Timur dengan bayaran RM1,000.
“Kami tertanya sendiri adakah mereka benar-benar faham apa yang diperlukan untuk menjayakan satu persembahan oleh kumpulan seperti kami?” soalnya.
Menerusi hantaran yang sama, kumpulan itu juga menganggap bayaran yang diterima mereka jauh berbeza berbanding dengan artis-artis baharu.
“Mungkin mereka tak tahu, apa kami terima selalunya masih di bawah bayaran diberi kepada mereka yang baru menapak dalam industri, yang masih mencari rentak. Meski belum satu anugerah pengiktirafan di tangan mereka.
“Kami bukan minta bulan dan bintang mahupun layan kelas VIP, tetapi cukuplah kalau seni kami dihargai sewajarnya. Kerana daripada situlah kami menafkahi diri dan tanggungan,” jelasnya.
Sementara itu, mereka berharap agar pihak penganjur lebih peka dengan perkara itu selain menghargai bakat dan usaha mereka memperjuangkan bakat dalam industri seni tanah air.
“Setiap melodi kami mainkan dan setiap lirik kami nyanyikan datang bersama semangat dan keikhlasan. Disertai dengan usaha yang tak pernah putus meskipun dibatasi kekangan kami miliki. Kami langgar batas keterbatasan demi menjalani kehidupan.
“Apa kami harapkan hanyalah sebuah penghargaan jujur dan adil terhadap usaha dan seni yang dibawa kerana di sebalik perjalanan kami, ada perjalanan tidak ramai sanggup tempuh,” jelas mereka.
Untuk info, Caliph Buskers kini dianggotai oleh tiga orang iaitu Azmi Saat sebagai penyanyi utama, Nirwan pemain gitar dan Zaki pemain Bes.-UTUSAN