DALAM dunia dua roda, tak ramai sangka bahawa Ducati akan tampil dengan motosikal satu silinder. Namun inilah hasilnya, Ducati Hypermotard 698 Mono atau ringkasannya Hypermono.
Model ini adalah paling kecil dalam barisan semasa Ducati tetapi mempunyai karakter paling nakal dan lincah yang pernah penulis uji. Walaupun namanya ringkas, pengalaman menunggangnya jauh dari biasa.
Hypermono dibangunkan menggunakan asas enjin Panigale 1299 yang terkenal, tetapi ‘dibelah dua’ menjadi enjin satu silinder Superquadro Mono dengan sistem desmodromic yang membezakan Ducati dari jenama lain.
Enjin 659 cc ini menghasilkan kuasa maksimum sekitar 77.5 hp pada 9,750 rpm dan tork 63 Nm pada 8,000 rpm, satu angka yang sangat mengagumkan untuk jentera satu silinder, menjadikannya paling berkuasa dalam kelasnya.
Namun, kuasa semata-mata bukanlah satu-satunya tarikan Hypermono. Apa yang menjadikannya benar-benar menyeronokkan ialah karakter enjin yang liar tetapi tetap terkawal. Hypermono dilengkapi dengan empat mod tunggangan utama iaitu Wet, Urban, Road dan Sport.
Masing-masing mempunyai talaan kuasa dan kawalan cengkaman tersendiri. Mod Wet dan Urban lebih sesuai untuk kegunaan santai dan cuaca tidak menentu, manakala Road dan Sport menyerlahkan kuasa sebenar motosikal ini dengan respons pendikit yang lebih agresif.

Reka bentuk Hypermono kekal mengikut gaya supermoto, tinggi, ringan dan agresif. Walaupun posisi duduknya agak tinggi, jentera ini terasa sangat ringan dengan berat kering sekitar 151 kilogram (kg).
Ini membolehkan ia dikawal dengan mudah sama ada di kawasan bandar atau jalan berselekoh sempit di luar bandar.
Bagi penulis, ia ibarat mainan dua roda yang boleh dipandu tanpa perlu memikirkan tentang kelajuan tinggi kerana kenikmatan sebenar datang dari kawalan dan reaksi pantas yang ditawarkan.
Dari segi ergonomik pula, pelana dan kedudukan bar hendal diletak sempurna, cukup mesra untuk penunggang baharu, tetapi masih menawarkan keterujaan untuk penunggang berpengalaman. Ini menjadikan Hypermono sebagai motosikal yang boleh disesuaikan mengikut gaya dan tahap pengalaman pemiliknya.
Ciri bantuan elektronik yang disertakan juga menjadikan tunggangan lebih meyakinkan.
Walaupun ia motosikal satu silinder, ia masih dilengkapi dengan sistem seperti Ducati Traction Control, engine brake control dan wheelie control yang boleh dilaras mengikut mod.
Namun, satu perkara yang mungkin kurang memuaskan adalah paparan kluster digitalnya yang tidak menyediakan bar penunjuk tahap bahan api. Hanya amaran bahan api rendah akan muncul, tetapi bagi penulis, ini bukanlah kekurangan besar kerana jarang sekali mata ditumpukan lama pada meter ketika menunggang jentera seperti ini.
Untuk pasaran Malaysia, Ducati Hypermono ditawarkan dalam dua pilihan varian, Standard dan RVE. Varian Standard ditawarkan pada harga anggaran RM79,000, hadir dengan kemasan warna merah Ducati klasik dan grafik lebih ringkas.

Walau bagaimanapun, ia tidak didatangkan dengan quickshifter mahupun sistem ekzos Termignoni secara standard, kedua-duanya ditawarkan sebagai pilihan tambahan.
Sementara itu, varian RVE pula dijual pada harga RM85,000 dan tampil dengan grafik lebih berani yang diinspirasikan daripada model Hypermotard RVE.
Versi ini hadir lengkap dengan quickshifter dua hala secara standard dan menawarkan pakej yang lebih ‘siap pakai’ untuk penunggang yang mahukan semua ciri tanpa perlu ubah suai tambahan.
Bagi mereka yang memang kaki trek, Hypermono ini juga boleh dianggap sebagai motosikal yang track-ready. Ia hadir dengan pakej lengkap untuk dibawa terus ke litar, ringan, agresif, pengendalian tepat, dan kuasa yang mencukupi untuk menikmati selekoh demi selekoh tanpa perlu melakukan modifikasi besar.
Tambah pula dengan sistem elektronik Ducati yang terbukti, ia memberikan keseimbangan sempurna antara keseronokan dan keselamatan dalam suasana kompetitif.
Secara keseluruhan, Ducati Hypermono bukan jentera harian yang tipikal. Ia bukan direka untuk keselesaan jarak jauh atau pembonceng, sebaliknya untuk memberikan pengalaman tunggangan paling dekat dengan jentera perlumbaan tetapi dalam pakej ringan dan kompak.
Penulis sendiri mengakui, walaupun karakter Hypermono bukan untuk semua orang, ia adalah motosikal yang membuatkan kita tidak pernah jemu untuk menunggangnya.
Jika anda sedang mencari sesuatu yang unik, penuh dengan karakter dan mampu membuatkan setiap selekoh menjadi lebih hidup, Ducati Hypermono adalah pilihan yang tidak mengecewakan. – UTUSAN










