KUALA LUMPUR: Seramai 200 anak yatim yang terdiri daripada mangsa Covid-19 diraikan dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Keluarga Malaysia, hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua anak-anak tersebut kehilangan ibu bapa ketika penularan virus berkenaan sebelum ini.
Dalam masa sama, majlis tersebut bertujuan meringankan beban kewangan mereka.
“Seperti tahun-tahun lepas, kita anjurkan majlis ini khusus untuk anak-anak yatim Covid-19. Tahun ini kita jemput lebih kurang 200 daripada 9,000 orang dari kawasan berhampiran seperti Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika ditemui dalam majlis itu.
Selain jamuan, anak-anak yatim itu turut menerima sumbangan duit raya sebagai tanda ingatan dan sokongan Syawal.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri berkata, inisiatif bantuan bulanan berterusan turut disalurkan untuk menyokong kelangsungan hidup anak-anak yatim ini.
“Kita tidak lupakan yang lain. Kita ada salurkan bantuan khas sempena sambutan Aidilfitri, sebanyak RM300 dikreditkan terus ke dalam akaun mereka untuk membeli kelengkapan raya.
“Setiap bulan kita akan masukkan bantuan sebanyak RM200 untuk yang berumur 16 tahun ke bawah dan RM250 bagi yang 16 tahun ke atas. Kita akan terus bantu mereka sehingga umur 18 tahun, atau sehingga habis pengajian jika mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini merupakan komitmen yang telah dimulakan sejak zaman pandemik bagi memastikan nasib dan kebajikan anak-anak yatim ini terus terjaga. – UTUSAN