PORT DICKSON: Isu pencerobohan tanah oleh sebuah rumah ibadat di atas sebidang tanah termasuk yang dimiliki oleh sebuah yayasan anak yatim di Bukit Palong, Lukut di di sini berjaya diselesaikan secara perbincangan.
Ia selepas pengurusan kuil mengakui kesalahan dilakukan dan bersetuju untuk berpindah dan mengosongkan tanah berkenaan.
Menurut Jurucakap Yayasan Anak Yatim Port Dickson, Syed Ariffin Abu Tahir, pencerobohan tersebut disedari setahun lalu selepas pihaknya berhasrat untuk membina asrama untuk anak-anak yatim di daerah ini.
“Semasa perbincangan terakhir pada 9 April lalu, pihak rumah ibadat terbabit telah mengakui kesalahan dan bersetuju untuk berpindah. Susulan itu kami telah mengeluarkan notis pengosongan kepada mereka dalam tempoh dua bulan.
“Pihak kuil perlu mengosongkan tanah sebelum 9 Jun ini bagi memberi laluan kepada kami meneruskan hasrat membina asrama anak yatim,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Yang hadir sama, Pengerusi Yayasan Anak Yatim Port Dickson, Muskimin Tukiman dan setiausaha kuil berkenaan, M. Kannan.
Difahamkan, pencerobohan itu turut melibatkan tanah milik sebuah kementerian dan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dalam pada itu, Syed Ariffin berkata, tanah tersebut telah diberikan oleh kerajaan Negeri Sembilan kepada pihak yayasan pada tahun 2007 dan didaftarkan pada 16 Julai tahun yang sama untuk tujuan pembinaan asrama dengan pajakan negeri selama 99 tahun.
“Oleh itu, proses pembinaan dimulakan dengan kerja-kerja pengukuran dan didapati telah berlaku pencerobohan kira-kira setengah ekar.
“Selepas pengosongan selesai, kami akan segera membina asrama. Perbincangan kedua-dua pihak berlangsung dalam keadaan harmoni serta saling menghormati,” katanya.
Dalam pada itu, Kannan berkata, pihaknya telah membuat permohonan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah lain bagi operasi kuil.
“Permohonan tanah telah dibuat sejak tahun 2000 namun masih belum mendapat tanah yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN