Warga India cuba seludup ungka, kura-kura dalam bagasi

Warga India cuba seludup ungka, kura-kura dalam bagasi

Ungka Tangan Hitam dan kura-kura Red-Eared Slider yang disimpan dalam bagasi yang cuba diseludup keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan lelaki warga India dipercayai diupah sebagai ‘keldai’ untuk menyeludup hidupan liar bagi spesies Ungka Tangan Hitam dan kura-kura Red-Eared Slider melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini terbongkar selepas ditahan, Ahad lalu.

Penahanan lelaki warga India kira-kira pukul 10 malam itu dilakukan hasil tindakan pantas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Bantuan KLIA.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek ditahan semasa hendak menaiki penerbangan ke Tiruchirapalli, India.

Katanya, pemeriksaan pada bagasi dibawa lelaki berusia 21 tahun itu menemukan seekor disyaki Ungka Tangan Hitam serta enam ekor kura-kura Red-Eared Slider.

“Penumpang (suspek) tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan hidupan liar terbabit.

“Nilai sitaan hidupan liar dianggarkan bernilai RM12,200,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai ‘keldai’ yang menyeludup hidupan liar keluar dari Malaysia dengan menyorokkannya dalam bagasi.

Tegasnya, lelaki terbabit disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN