PETALING JAYA: Kerajaan Arab Saudi memberi amaran individu yang melaksanakan ibadah haji tanpa permit sah bakal berdepan penalti sehingga 100,000 riyal (kira-kira RM115,000), termasuk pengusiran dan larangan masuk semula ke negara itu selama 10 tahun.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata, peraturan ketat itu bertujuan mengawal keselamatan dan pengurusan jemaah haji sepanjang musim ibadah berlangsung.
Katanya, antara kesalahan yang dikenakan denda termasuk memohon visa lawatan untuk individu yang kemudiannya cuba menunaikan haji tanpa permit sah, membawa pemegang visa lawatan ke Mekah, serta menyembunyikan atau menempatkan mereka di kediaman, hotel atau mana-mana tempat penginapan sepanjang tempoh larangan iaitu antara 1 Zulqaedah hingga 14 Zulhijjah.
“Denda 20,000 riyal (RM23,000) turut dikenakan kepada mana-mana individu termasuk pemegang visa lawatan yang cuba memasuki atau berada di Mekah dalam tempoh berkenaan tanpa kebenaran rasmi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Bagi yang melebihi tempoh visa dan cuba menunaikan haji tanpa permit pula, tindakan pengusiran ke negara asal akan dilaksanakan serta larangan kemasukan semula ke Arab Saudi selama 10 tahun.
Lebih tegas, kenderaan darat yang digunakan untuk membawa individu ke tanah suci secara tidak sah juga boleh dirampas atas arahan mahkamah, sekiranya pemiliknya terbukti bersubahat.
“Langkah keras ini dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan Arab Saudi dalam memastikan kelancaran dan keselamatan jemaah haji setiap tahun, di samping mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan visa lawatan.
“Umat Islam di seluruh dunia dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, mendapatkan permit sah sebelum menunaikan ibadah haji dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan laluan pintas yang akhirnya boleh mengundang padah,” katanya. – UTUSAN