SUNGAI PETANI: Kegiatan curi kabel yang menjadi kebimbangan Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di negeri ini terus berlaku sebelum seorang suspek diberkas polis, hari ini.
Dalam kejadian terbaru itu, seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki mencuri kabel sistem semboyan dan komunikasi milik KTMB di laluan Gurun-Sungai Petani berdekatan Laguna Merbok, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, tangkapan dibuat pihaknya pada pukul 12.30 tengahari selepas video kejadian kecurian tular.
“Video itu memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki sedang menarik kabel berkenaan selepas dia memotong kabel berukuran 35 milimeter (mm) sepanjang 200 meter di kawasan terbabit.
“Polis kemudian membuat semakan dan mendapati terdapat satu laporan yang dibuat seorang juruteknik KTMB berkaitan sebuah ‘mainhole’ dikesan terbuka dan kabel sepanjang 200 meter bernilai RM20,000 dilarikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 24 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kegiatan curi kabel yang berterusan telah memberi kesan ketara ke atas perkhidmatan KTM di sektor utara sehingga KTMB merekodkan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi.
Kata Wan Azharuddin, berdasarkan video itu pihaknya menahan lelaki berumur 26 tahun itu bersama kereta yang digunakan dalam kejadian itu di belakang deretan rumah di Jalan Prima Residensi Utama.
“Dia mengaku mencuri kabel itu dan pihak kita menemui semula barang kes dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Semakan mendapati lelaki beralamat di Sungai Layar itu mempunyai sembilan rekod lampau antaranya membabitkan dadah, khianat terhadap harta benda, mencuri dan pernah dikenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
“Ujian saringan air kencing turut positif methamphetamine dan kini dalam proses permohonan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan mendatangkan bencana kabel dan telegraf,” ujarnya. – UTUSAN