SUNGAI PETANI: Dua beradik didenda RM5,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi pada hari raya pertama lalu.
Tertuduh, Muhammad Asri Muhammad Nor, 44, dan adiknya Muhammad Shukri, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohammad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama mencuri tiga batang kabel bersaiz 50 PRUG milik Telekom Malaysia di tengah jalan utama di Dataran Jam Besar, di sini pada pukul 4.30 petang Sabtu lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Fang Tak Fatt yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan mereka mengundang kerugian kepada syarikat telekomunikasi berkenaan.
Dua beradik itu yang diwakili peguam dari Biro Bantuan Guaman bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman denda yang rendah berikutan masing-masing hanya bekerja sebagai penjual ikan dan pencuci kereta tanpa pendapatan tetap.
Mahkamah kemudian menetap denda sebanyak RM5,000 setiap seorang dan boleh dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan jika gagal bayar denda.
Akhbar sebelum ini melaporkan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mengesan dua lelaki sedang membuka penutup lubang utiliti di lokasi tersebut ketika melakukan rondaan di sekitar pusat bandar pada petang hari raya pertama, Sabtu lalu.
Dua beradik yang positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 12 rekod membabitkan dadah itu ditahan ketika berada di dalam lubang berkenaan bersama lima peralatan untuk memotong kabel. – UTUSAN










