PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuka peluang kepada graduan bukan pendidikan untuk menjadi pendidik melalui program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof.Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, langkah itu diambil bagi mengatasi isu kekurangan guru di negara ini selain memberi ruang kepada mereka yang berminat menyertai bidang perguruan.
“Program ini terbuka kepada siswazah bidang lain seperti kejuruteraan dan sains matematik yang ingin menyumbang dalam dunia pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UPSI bersama media dan rakan strategik di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, seramai 1,000 pelajar telah mendaftar dalam program itu di UPSI dengan kursus merangkumi aspek pedagogi, kurikulum, kaedah penilaian serta falsafah pendidikan.
“Mereka ini mungkin pakar dalam bidang teknikal, tetapi untuk mengajar dan mengurus bilik darjah, mereka perlu dilengkapi dengan ilmu pedagogi,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pendidikan kaunseling amat penting dan diperlukan lebih-lebih lagi dengan isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.
Md. Amin berkata, ini kerana masih wujud persepsi pendidikan kaunseling kurang relevan serta berdepan dengan cabaran dalam penempatan graduan.
Hakikatnya kata beliau, bidang tersebut sangat penting dalam membentuk generasi yang seimbang emosi dan rohani.
“Dalam zaman sekarang, dengan ledakan teknologi dan cabaran dunia digital, pendidikan kaunseling ini perlu diberi perhatian serius kerana orang ramai mudah terdedah dengan gejala buli dalam talian,” ujarnya.
Sementara itu katanya, graduan bidang pendidikan juga perlu tampil berani, meletakkan diri dalam masyarakat dan terus mendepani cabaran serta tidak bergantung semata-mata kepada sistem penempatan.
“Siswazah bukan hanya perlu bijak akademik, tetapi juga perlu mahir mengendalikan kelas, menilai pelajar dan menyampaikan ilmu dengan berkesan,” ujarnya.
Menurutnya, pembentukan insan yang menyeluruh hanya boleh dicapai melalui pendidikan yang bukan sahaja menekankan ilmu, tetapi juga nilai-nilai kemanusiaan seperti ihsan.
Beliau juga menyeru agar masyarakat melihat semula peranan guru bukan sekadar pendidik, tetapi pembimbing dalam pembentukan jati diri bangsa. – UTUSAN










