TAPAH: Pemimpin Melayu dalam UMNO sepatutnya bekerjasama dengan Pas bagi membentuk kerajaan agar kuasa Islam dapat diperkasakan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan politik adalah penting sebagai kuasa memerintah dan mentadbir supaya Islam dapat diangkat.
Menurutnya, Islam perlu diletakkan tinggi dan dimuliakan, bukannya lebih penting daripada jawatan sehingga meletakkan Islam di belakang kerana kepentingan diri.
“Berlaku perkembangan mutakhir UMNO semakin lemah selepas berpisah dengan Pas. Berlaku PRU-15, Pas dapat undi Melayu, DAP dapat undi bukan Islam. Undi Melayu banyak wakil-wakil rakyat Melayu. Wakil rakyat bukan Islam bukan majoriti, yang majoritinya ialah wakil rakyat Islam termasuk daripada UMNO.
“Maksudnya orang Melayu yang UMNO ini bekerjasama dengan Pas buat kerajaan untuk memperkasakan kuasa Islam. Bukan kita tolak bukan Islam, kita tolak DAP yang melampau,” katanya.
Beliau berucap pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Turut hadir, calon Perikatan Nasional (PN) PRK DUN Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.
Abdul Hadi berkata, di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam dan mereka berhak memimpin namun bukan bermakna hak bukan Islam dinafikan.
“Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti diterajui orang Islam,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, orang Islam dan bukan Islam sebahagian besarnya tidak setuju dan menolak DAP kerana pendekatan parti itu yang menyebabkan hubungan tidak baik antara kaum.
Menurutnya, yang mutakhir isu tiada bulan pada Jalur Gemilang yang merupakan simbol Islam yang disiarkan sebuah akhbar.
“Isu ini jangan dipandang ringan, ada orang yang pandang ringan termasuk Perdana Menteri, saya dengar dia bela, tak ada apa-apa pada dia. Sepatutnya rakan-rakan kita orang UMNO yang masih ada roh Islam, semangat Melayu kembali ke pangkal jalan kalau tersesat jalan,” katanya.
Mengenai PRK Ayer Kuning, Abdul Hadi berkata, PRK itu satu medah untuk menguji PN dan jika menang, kerusi parti itu akan bertambah.
“Jika menang kerusi PN bertambah, nasib baik UMNO bergabung dengan kita, boleh bertukar kerajaan. Tidak mustahil.
“Kalau tidak kita jadi Pembangkang yang lebih kuat untuk menegur,” katanya. – UTUSAN