Lebih 10,000 sertai himpunan ‘Justice For Zara Qairina’ di Melaka

Lebih 10,000 sertai himpunan ‘Justice For Zara Qairina’ di Melaka

LEBIH 10,000 rakyat pelbagai kaum berhimpun secara aman di Jalan Hang Tuah, Melaka malam semalam bagi menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina.-UTUSAN /AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA Lebih 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai kaum berhimpun secara aman di Jalan Hang Tuah di sini bagi menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang kematiannya masih menjadi misteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Himpunan yang bermula seawal pukul 8 malam itu dimulakan dengan bacaan tahlil sebelum disusuli ucapan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis masyarakat serta pengamal undang-undang sebelum berakhir kira-kira jam 11 malam.

Perserta turut membawa kain rentang, poster serta melaungkan slogan ‘Justice For Zara’ sambil menyuarakan penolakan terhadap budaya buli dan keganasan kanak-kanak.

Ada dalam kalangan mereka juga menitiskan air mata kerana bersedih dan bersimpati terhadap nasib menimpa keluarga mangsa.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka, Mansor Bai berkata, rakyat menuntut pemimpin menunjukkan keberanian menangani isu berkenaan tanpa melindungi pihak tertentu.

“Kalau pemimpin tidak mampu tangani isu ini, lebih baik letak jawatan kerana rakyat sudah muak dengan kelembapan tindakan.  Kematian berlaku di tempat selamat iaitu sekolah agama, sebab itu kita desak siasatan telus dan rakyat bersama ibu Zara dalam penderitaan ini,” ujarnya.

Pengamal undang-undang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang membacakan resolusi himpunan menegaskan, suara rakyat harus diambil serius oleh pihak berkuasa dan menuntut siasatan telus bebas dan menyeluruh tanpa campur tangan dan tanpa kompromi. 

Beliau turut mendesak pihak berkuasa menyegerakan tangkapan dan pendakwaan terhadap pelaku yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan orang awam perlu diberi maklumat telus.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN