TAMPIN: Seorang warga emas berasal dari Sweden kini tinggal sebatang kara di Kampung Sri Gemas di sini selepas kematian isterinya kira-kira lima tahun lalu.
Tommy Abdullah, 72, yang bertaraf pemastautin tetap kini hanya ‘menumpang kasih’ penduduk setempat termasuk untuk urusan makan dan minum.
Seorang pengusaha kedai makan berhampiran rumah sewa didiami lelaki itu, Julia Erlina Sukarsa, 55, berkata, dia telah mengenali Tommy sejak 25 tahun lalu.
“Ketika itu dan isterinya menetap di Londah dan sering mendapatkan rawatan di klinik swasta milik suami saya.
“Atas dasar persahabatan kami membantunya, kesian juga kerana Tommy sering mengadu sunyi dan hanya mampu bercakap dengan dinding. Jadi, hampir setiap hari dia akan hubungi saya minta izin makan dan minum di kedai saya.
“Bab itu saya tak berkira sangat. Cumanya, baru-baru ini, Tommy terjatuh sehingga menyebabkan kakinya tidak boleh bergerak lancar seperti biasa serta harus menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Tommy yang tidak mengidap sebarang penyakit kronik memberitahu, pendengarannya sudah tidak begitu jelas namun tidak mahu meninggalkan kehidupannya di Gemas.
“Saya sudah berkahwin berpuluh-puluh tahun lamanya serta sudah biasa dengan kehidupan di kawasan ini. Saya sudah terputus hubungan dengan keluarganya di Sweden serta tidak begitu mengingati pelbagai perkara di sana,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Gemas, Mohamad Rafidzal Zulkarnain, 40, berkata, beberapa agensi akan bertemu Tommy.
“Buat masa ini, Tommy merupakan tanggungjawab kami sebagai penduduk kampung. Malah, pada minggu lalu, kami bersama sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergotong-royong membersihkan rumah sewanya.
“Kami akan bergilir-gilir meninjau keadaan Tommy. Dia kini bergantung dengan wang pencen polis yang diterimanya dari Sweden,” katanya.-UTUSAN.










