KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) bakal mencipta sejarah sekali lagi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dijadualkan membuka kapsul masa yang disimpan sejak tahun 1996 di menara ikonik negara itu Ahad ini.
Majlis bersejarah ini, yang disambut bersempena Hari Raya Aidilfitri, bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’, adalah simbol penghargaan terhadap sumbangan besar negarawan ulung tersebut dalam pembangunan Menara Kuala Lumpur dan negara.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, kapsul masa yang sepatutnya dibuka pada 2020, disimpan dengan penuh amanah selama lebih 28 tahun oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Alfandi Abdullah.
“Dr. Mahathir bersetuju untuk hadir dan membuka sendiri kapsul tersebut, satu momen yang sangat bermakna kerana beliau sendiri menyaksikan pembinaan menara ini dari rumahnya di Galeria Perdana menerusi teleskop,” katanya dalam sidang akhbar Penyerahan Kapsul Masa Menara Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur, di sini semalam.
Kapsul masa itu mengandungi dokumen penting serta simbolik pemikiran Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir semasa pentadbiran beliau, dan kini bakal membuka kembali lipatan sejarah kepada generasi muda.
Abdul Hamid turut mengajak bekas pekerja MKLSB dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama hadir pada majlis yang penuh bermakna ini.
“Majlis ini bukan hanya untuk meraikan Syawal, tetapi juga untuk menghubungkan generasi kini dengan sejarah pembangunan negara,” ujarnya.
Pembukaan kapsul masa oleh Dr. Mahathir bukan sekadar merungkai sejarah silam, tetapi juga menjadi mercu tanda kesinambungan aspirasi negara menuju masa depan yang lebih gemilang. – UTUSAN










