KUALA LUMPUR: Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana meragut seutas rantai emas milik seorang wanita di kedai makan, minggu lalu.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Hussein Iyasamy, 39, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 April lepas.
Bapa satu anak itu didakwa meragut seutas rantai leher emas milik mangsa yang berusia 47 tahun itu di sebuah kedai makan di Taman Mutiara Fadason, Kepong, dekat sini pada 24 April lepas pukul 12.38 pagi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang makan di restoran didatangi tertuduh yang meminta sebatang rokok kepadanya, tetapi mangsa tidak memberikan rokok kepada tertuduh.
Tertuduh kemudian beredar dari kedai makan tersebut namun berlari semula ke arah meja mangsa untuk meragut rantai emas di lehernya sebelum dia berjaya ditangkap oleh orang ramai dan polis peronda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor tertuduh melakukan jenayah di tempat awam dan di khalayak ramai.
Hussein yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung isteri dan seorang anak. – UTUSAN