TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning Dr. Mohamad Yusri Bakir mengumumkan tujuh tawaran dalam manifesto pada PRK tersebut.
Manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ merupakan cetusan harapan masyarakat setempat selepas beliau mendengar luahan dan aspirasi yang dizahirkan penduduk Ayer Kuning.
Mohamad Yusri berkata, tiga tekad menjadi asas kepada keseluruhan usaha yang akan dilakukan iaitu menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat dan menghubungkan inisiatif sosio ekonomi di kawasan itu selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Tujuh tawaran manifesto itu termasuk ekonomi tempatan yang makmur, meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat, pembangunan infrastruktur setempat, agenda anak muda dan TVET, prihatin warga emas, wanita dan Orang Asli dan pendidikan berkualiti untuk anak jati Ayer Kuning.
“Saya akan memberi tumpuan kepada ekonomi tempatan yang makmur iaitu menyediakan geran khas untuk usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan penjaja, memperluas akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung dan memperkasa keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang.
“Selain itu, meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat dengan memperluas program kedai bergerak dan Jualan Rahmah, memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan dalam program kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita di Command Centre BN, Kampung Haji Tahir, Temoh di sini hari ini.
Menurut Mohamad Yusri, tawaran ketiga dalam manifestonya adalah pembangunan infrastruktur setempat iaitu dengan menambah baik jaringan jalan kampung dan pertanian.
“Juga penyediaan ruang niaga untuk penjaja kecil dan peniaga muda dan meningkatkan liputan dan jaringan komunikasi terutamanya di kawasan perumahan baharu,” katanya.
Ujarnya, tawaran keempat adalah agenda anak muda dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu menawarkan tajaan latihan TVET dalam bidang pertanian moden, automotif, dan digital selain mewujudkan inisiatif pemadanan pekerjaan dengan sektor industri di Tapah, Kampar dan Slim River.
Menurutnya, beliau juga memberi tumpuan dalam aspek prihatin warga emas, wanita dan Orang Asli di Ayer Kuning dengan meluaskan akses keselamatan sosial kepada warga emas miskin, ibu tunggal dan Orang Asli.
“Selain itu, bimbingan dan kemudahan pendidikan, kesihatan, dan pembangunan koperasi masyarakat Orang Asli juga akan diberi tumpuan dalam manifesto ini,” katanya.
Katanya, pendidikan berkualiti turut menjadi perhatian utamanya dalam manifestonya dengan memperjuangkan usaha menaik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah, dan prasekolah serta menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
Menurutnya, Pusat Khidmat Rakyat juga akan dibuka dengan waktu operasi panjang termasuk pada hujung minggu dan turut menjalankan lawatan berkala ke kampung dan taman untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung.
”Manifesto yang dijanjikan itu bukan sekadar tawaran politik, tetapi ikrar dan tanggungjawab demi memastikan setiap perkara yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN