TAIPING: Anggota bomba mengambil masa tujuh jam bagi memadam kebakaran sebuah kilang memproses telur masin di Kampung Nibong di Temerlok, Trong, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.27 pagi.
Menurutnya, seramai 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong, BBP Taiping, BBP Pantai Remis dan BBP Seri Manjung ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian mendapati api sedang marak memusnahkan 60 peratus daripada struktur kilang, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Berdasarkan maklumat awal, kilang memproses telur masin kelas B itu musnah terbakar pada kadar 80 peratus,” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki serta tiga pancutan air dari tangki jentera BBP Seri Manjung sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Menurutnya, operasi tamat pada pukul 9.34 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN