TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membina lapan lagi pos kawalan baharu di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ia terutamanya di Rantau Panjang dan Tumpat yang bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan serta membanteras penyeludupan yang semakin licik.
Katanya, pembinaan tambahan itu penting kerana sindiket penyeludupan dijangka mengambil kesempatan terhadap perubahan aliran Sungai Golok untuk mencari laluan baharu bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
“Sebagai contoh, di kawasan Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor, kami mengesan beberapa kes penyeludupan rokok melalui jalan laut sebelum dibawa masuk ke tanah besar. Di lokasi ini wajar dibina satu lagi pos kawalan yang menghadap laut kerana kedudukannya juga berdekatan dengan jeti Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan turun padang pihak Kementerian Ekonomi termasuk Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Luqman Ahmad ke PGA di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan 128 jeti haram akan dirobohkan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor sehingga Rantau Panjang.
Nik Roslan memberitahu, sebaik sahaja jeti haram dirobohkan, pihaknya mencadangkan supaya dipasangkan kawat duri di Rantau Panjang.
“Di kawasan yang dicadangkan itu sepanjang 1.8 kilometer bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga Jambatan Muhibbah. Kawasan ini adalah tanah kerajaan,” ujarnya.-UTUSAN










