RAWANG: Laporan awal siasatan kejadian kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu akan diperoleh minggu depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan daripada segi kecuaian dan khianat manakala satu lagi siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga masih berjalan.
“Jadi kita tunggu dalam seminggu lagi kita akan keluarkan laporan awal, hasil dapatan dari tempat kejadian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Balai Polis Country Homes di sini, hari ini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Balai Polis Country Homes.
Tambah Hussein, kerja-kerja mengorek tanah hampir selesai dijalankan di lokasi kejadian.
“Kita turut menemukan paip yang meletup dan ia kini berada di bawah kajian forensik Jabatan Kesihatan dan JKPP, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya. – UTUSAN