JASIN: Tiga lelaki yang aktif melakukan jenayah curi motosikal dicekup polis dalam satu operasi khas Op Lejang di sekitar Jasin dan Melaka Tengah, selepas dipercayai terlibat mencuri motosikal Yamaha 125ZR di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di sini.
Kejadian terbongkar pada 7 April lalu apabila seorang lelaki berusia 20 tahun membuat laporan polis berikutan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan parkir PPR Tehel telah hilang.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bemban telah menahan seorang lelaki berusia 30-an di Jalan Bemban-Tehel pada hari sama dan merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna biru bersama anak kunci.
“Hasil soal siasat membawa kepada dua lagi tangkapan pada 10 April di Taman Seri Duyong 2 dan PPR Tehel. Kesemua suspek adalah lelaki dalam lingkungan 30-an.
“Suspek pertama bekerja di kilang, suspek kedua merupakan pemandu lori manakala suspek ketiga tidak bekerja (penganggur),” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah dan 17 rekod narkotik, suspek kedua pula 11 rekod jenayah dan empat rekod narkotik manakala suspek ketiga mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod narkotik.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 14 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga tujuh tahun serta denda,” jelasnya. – UTUSAN