Dua lelaki curi motosikal diberkas 

Dua lelaki curi motosikal diberkas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis menahan dua lelaki selepas terlibat kegiatan mencuri motosikal di kawasan pangsapuri sekitar Ampang kelmarin.

Penahanan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pemilik sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu memaklumkan motosikalnya diletakkan dalam keadaan berkunci di kawasan parkir perumahan di Jalan Lembah Permai, Lembah Jaya Utara, Ampang pada 12 Mei lalu.

“Pengadu menyedari motosikalnya hilang pukul 6.20 pagi pada 13 Mei lalu sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 28 dan 33 tahun, ditahan dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di Teluk Intan, Perak dan Lembah Jaya Utara di sini, dalam serbuan, kelmarin.

Kata beliau, pihak polis turut merampas tiga motosikal beserta anak kunci, topi keledar, telefon bimbit dan empat pakaian bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian awal air kencing dilakukan, kedua-dua suspek didapati negatif dadah, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah,” ujarnya. 

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah mencuri motosikal di kawasan pangsapuri sebelum menjual komponen kenderaan itu.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula 15 Mei lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×