KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak di sini ketika cuba melarikan diri semasa serbuan polis berkaitan kes curi motosikal, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku kira kira pukul 9.07 malam ketika pasukan polis menjalankan serbuan di kediaman berkenaan.
Menurutnya, ketika serbuan, dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan itu.
“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun daripada tingkat tiga bangunan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi individu selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Katanya, serbuan itu turut membawa kepada penahanan 12 individu di kediaman berkenaan.
“Polis menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak kanak berumur lingkungan tiga hingga 42 tahun termasuk dua warganegara Indonesia.
“Pihak polis juga merampas dua motosikal curi serta beberapa jenis dadah di kediaman tersebut,” katanya.
Orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam serta tidak menularkan maklumat yang tidak sahih.- UTUSAN









