Terus-terang, Cik Bunga pun tidak setuju dengan mana-mana individu bergelar penyondol. Baik wanita atau lelaki. Ya, jangan ingat lelaki tak ada yang bergelar penyondol ya.
Apa awak ingat, wanita sahaja boleh diletakkan dalam kategori itu kalau terlibat dengan cinta suami orang? Lelaki pun ada yang tak ada akhlak kacau rumah tangga wanita lain ya, jangan tak tahu.
Namun, dalam kontroversi rumah tangga dan hubungan melibatkan pempengaruh dan selebriti popular, Cik Epal dengan bekas suaminya, Jofliam dan isteri baharunya, Dewi, bagi Cik Bunga, ada betulnya apa yang ditegur oleh segelintir pihak termasuk Michael Ang yang baru-baru ini ada menyentuh mengenai isu ini di media sosial.
Mengikut apa yang Cik Bunga baca pada tulisan Michael di media sosial, dia ada menegur dan Cik Bunga percaya, ia merujuk kepada tindakan Cik Epal yang dikatakan terlalu vokal mencoret segala perihal mengenai kehidupan peribadinya di media sosial.
Sindir menyindir, kutuk-mengutuk, perkara seumpamanya yang dilakukan oleh Cik Epal lah kononnya itu. Michael menyifatkan tindakan Cik Epal itu seakan tidak menunjukkan dirinya seorang yang ada kelas atau ‘classy’.
Cik Bunga setuju juga pada bahagian itu. Ada benarnya apa ditulis oleh Michael. Cik Epal seorang yang cantik, bekerjaya, hebat, bijak, diminati dan disanjung ramai, lebih cantik jika tidak terlalu rancak bercerita itu dan ini di media sosial.
Jangan salah faham, bukan tidak boleh luahkan apa yang dirasakan dalam hati. Tetapi, jangan terlalu kerap sangat dan disitulah letaknya ‘classy’ yang dimaksudkan oleh Michael.
Tunjukkan diri mampu jadi lebih hebat dan semakin hebat dan lebih ramai akan sanjung keperibadian Cik Epal sebagai seorang wanita yang punyai ‘level’ lebih mulia dari si penyondol dan bekas suami.
Cik Bunga tahu, apa sahaja yang dilakukan oleh Cik Epal akan diiyakan dan diberi lampu hijau oleh pengikut-pengikut setianya.
Tiada siapa menidakkan perasaan dan emosi seorang isteri dan ibu tunggal tersakiti seperti Cik Epal. Cik Epal betul, tetapi sesekali kena terima juga teguran orang lain yang sebenarnya bukan nak menjatuhkan, tetapi ambil teguran itu sebagai tanda sayang.