Dilema rider Islam bawa makanan tidak halal

Dilema rider Islam bawa makanan tidak halal

ISU keraguan apabila makanan halal dan haram bercampur dalam satu beg penghantar makanan yang sama.-UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 100,000 penghantar makanan atau rider yang beragama Islam di seluruh negara berada dalam dilema kerana ada ketikanya mereka terpaksa menghantar makanan tidak halal kepada pelanggan. 

Walaupun mereka boleh memilih segmen halal atau regular (biasa) ketika pendaftaran, tetapi keputusan akhir tetap tertakluk kepada penyedia platform berdasarkan keperluan semasa dan lokaliti.

Ini menyebabkan ada penghantar beragama Islam yang didaftarkan di segmen regular terpaksa menghantar makanan tidak halal. 

Walaupun boleh batalkan penghantaran tersebut ini akan menyebabkan mereka digantung tugas untuk tempoh tertentu yang menjejaskan sumber pendapatan. Mereka juga mendedahkan bahawa untuk segmen regular, beg yang sama akan digunakan untuk membawa makanan halal dan tidak halal. 

Penghantar makanan dalam seg men halal hanya akan mengambil makanan dari kedai makan atau restoran yang mempunyai sijil halal.

Namun ada juga penyedia platform membenarkan perkhidmatan mereka digunakan oleh premis-premis yang tiada sijil halal dan vendor tidak halal yang mana ini mewujudkan unsur syubhah.

Isu itu lebih serius bagi penghantar makanan kategori regular yang mana mereka ini perlu mengambil dan menghantar makanan tidak halal.

Meskipun ada penyedia platform menyediakan beg kecil khusus untuk makanan tidak halal ia bukanlah penyelesaian mutlak kerana beg berkenaan tetap akan diletak secara bersama.

Mengakui perkara itu, seorang penghantar makanan, Adib Zaki, 25, meluahkan kekecewaan apabila permohonannya untuk bekerja dalam segmen halal ditukar kepada regular tanpa kemahuannya.

Katanya, ia merupakan hak mutlak penyedia platform walaupun ramai penghantar makanan beragama Islam menyuarakan bantahan kerana khuatir dengan penghantaran yang bercampur itu.

Dedahnya, sudah menjadi kelaziman untuknya menerima pesanan menghantar makanan tidak halal setiap hari. Katanya, dia tidak mempunyai pilihan kerana jika menolak maka akaunnya akan disekat oleh penyedia platform sekali gus menjejaskan sumber pendapatan.

“Saya pernah disekat beberapa minit dan paling lama selama seminggu hanya sebab saya menolak untuk menghantar makanan tidak halal.

“Jika ingin membuat penghantaran lagi, saya perlu mengambil ujian semula. “Saya berharap isu ini diberi perhatian oleh pihak berwajib supaya kami dapat pembelaan yang sewajarnya kerana ini adalah pekerjaan yang menjadi darah daging kami.

“Adakah salah untuk saya menuntut hak sebagai orang Islam? Ramai sudah persoalkan, tetapi syarikat hanya berdiam, kerana terdapat ramai penghantar bukan beragama Islam bersedia untuk melaksanakan penghantaran berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dianggarkan terdapat hampir 200,000 penghantar makanan dan barangan di pelbagai platform di Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Seorang lagi penghantar makanan, Shah Aman, 22, kesal kerana hasratnya untuk menjadi penghantar makanan bagi segmen halal ditolak walhal pilihan tersebut disediakan syarikat.

Katanya, tidak ada gunanya opsyen itu disediakan jika penghantar akhirnya kena ikut arahan pemilik platform.

“Saya rasa opsyen berkenaan hanya ‘wayang’ memandangkan keputusan akhir ditetapkan oleh syarikat itu sendiri.

“Berdasarkan pengalaman, saya menerima pesanan daripada kategori bukan halal lebih banyak kerana ada kedai makanan tidak halal tersebut turut menyediakan makanan lain.

“Namun risikonya wujud apabila berdepan pesanan makanan melibatkan daging babi dan arak. “Malah keadaan menjadi lebih mencabar apabila kuah tertumpah dalam beg penghantaran,” katanya.

Penghantar makanan yang mahu dikenali sebagai Amirul Iqmal, 30, berkata, terdapat dalam kalangan mereka yang hanya memikirkan tentang upah sehingga mencampurkan dua makanan berbeza kategori itu di dalam beg yang sama terutama ketika mendapat pesanan berganda.

Jelasnya, syarikat penghantar ada memberi beg khas untuk meletakkan makanan tidak halal.

“Ada penghantar yang kejar pesanan, kadang-kadang mereka letakkan sahaja di dalam beg besar itu tanpa mengasingkan seperti prosedur yang ditetapkan.

“Jadi ada risiko makanan itu bersentuh atau misalnya kuah makanan tidak halal itu tertumpah pada makanan halal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN