Ujian diagnostik tahun 1 dibatalkan

Ujian diagnostik tahun 1 dibatalkan

ANWAR Ibrahim pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.-JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan membatalkan ujian ­diag­­nostik khas murid enam tahun bagi menentukan kelayakan memasuki Tahun Satu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut mengambil kira kebimbangan ujian diagnostik yang boleh memberi kesan psikologi dan diskriminasi kepada kanak-kanak.

Katanya, ketiadaan ujian itu tidak bermakna pemantauan murid diabaikan, sebaliknya tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama oleh guru dan ibu bapa melalui aspek pemerhatian berterusan. 

“Cadangan awal itu baik sebab ada satu peni­laian sebelum anak itu masuk ke sekolah. Tetapi difikirkan nanti ia boleh menjadi diskri­minatif. 

“Oleh itu, ujian tersebut ditiadakan, itu jelas. Itu adalah cadangan Menteri dan saya setuju,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang tidak bersetuju sekiranya ujian saringan diagnostik khas itu diteruskan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang tidak bersetuju sekiranya ujian saringan diagnostik khas itu diteruskan.

Pada 21 Januari lalu, Fadhlina berkata, hanya murid yang layak dan berjaya melepasi kriteria ditetapkan setelah menduduki ujian diagnostik itu dipilih untuk kemasukan berkenaan.

Katanya, ibu bapa perlu mendaftar anak mereka terlebih dahulu untuk menduduki ujian saringan itu yang akan diumumkan pelaksanaannya nanti.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pembelajaran generasi muda akan rugi setahun sekiranya melengahkan kemasukan murid tahun satu lebih awal setelah data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan 137 negara atau 71 peratus negara sudah melaksanakan dasar tersebut.

“Generasi sekarang tidak seperti dulu. Umumnya jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka. Jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tidak boleh tetapi anak-anak kita jauh lebih pintar. Yang penting, beri pendedahan kepada mereka.

“Jadi saya tidak anggap ini satu keputusan yang akan merugikan, malah satu keputusan yang wajar diberi pertimbangan dan disokong dari semua pihak. Kalau ada beberapa kelemahan yang harus kita lakukan, kita lakukan sekarang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan berhubung kepadatan murid, Anwar berkata, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan dua sesi bagi prasekolah untuk menangani masalah kesesakan di beberapa buah sekolah terutama di kawasan bandar.

“Tetapi kalau ada keperluan untuk ditambah peruntukan memang disediakan peruntukan yang agak tinggi juga tahun ini, untuk menambah kemudahan kelas-kelas baharu dan tambahan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan sudah melakukan persiapan yang besar dengan peruntukkan tambahan RM800 juta pada tahun ini untuk memenuhi pengambilan 18,000 guru baharu dan menampung kapasiti prasekolah kerajaan berjumlah 110,889 tempat.

Selain itu, katanya kerajaan sudah memperluas 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi termasuk 150 bilik pada tahun lalu dan 350 lagi bilik pada tahun ini.

Sementara itu, Anwar berkata, ujian matrik untuk tahun empat yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini adalah bagi membolehkan ada penilaian dan memberi ruang untuk memperbaiki kemampuan anak-anak sebelum ke Tingkatan Satu.

“Tetapi biasalah dalam apa juga cadangan, ia memang mengundang sedikit kontroversi. Kalau ambik periksa Tahun Tiga pun salah, tidak buat langsung pun salah. Jadi kita putuskan buat (ujian) pada Tahun Empat dan kemudian kita lihat keberkesanannya.

“Pendidikan harus dinamik, saya setuju harus ada penilaian yang berterusan tetapi di peringkat awal, inilah cadangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN