PASIR PUTEH: Kekurangan bekalan air bersih dan ketiadaan industri hiliran menjadi punca utama semakin banyak bot laut dalam (C2) tidak lagi berlabuh di Tok Bali di sini sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, situasi itu menjejaskan perkembangan sektor perikanan di kawasan berkenaan meskipun pelaburan besar telah dilakukan dalam pembinaan kemudahan pelabuhan dan kompleks nelayan.
Katanya, statistik menunjukkan bilangan bot laut dalam yang aktif di Tok Bali merosot daripada 360 kepada hanya sekitar 70 buah sahaja sejak kebelakangan ini.
“Kita ada kompleks, kita ada nelayan. Tetapi masalah asas seperti air bersih dan ketiadaan kilang pemprosesan hasil perikanan menyebabkan usaha untuk menarik lebih banyak bot laut dalam ke sini tidak berjaya,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM bersama nelayan Kelantan di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, di sini, hari ini.
Faiz berkata, lain-lain faktor termasuk ketiadaan subsidi minyak, ketiadaan tempat membaiki bot dan kesukaran mendapatkan pelabur turut memburukkan keadaan.
“Kita pernah jumpa pelabur yang berminat membuka kilang pemprosesan ikan, tetapi akhirnya mereka menolak kerana masalah bekalan air bersih yang serius di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN