PUTRAJAYA: Bekas pegawai penyiasat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengakui bahawa tiada bukti langsung yang menunjukkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan arahan agar dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke akaun peribadinya.
“Bukti terus yang menunjukkan Najib mengarahkan ke mana wang itu (sepatutnya disalurkan), saya tidak menjumpainya tetapi berdasarkan cara syarikat itu beroperasi, memorandum syarikat, kelulusan oleh Lembaga Pengarah dan Najib, transaksi (aliran keluar wang) telah dilakukan,” kata Senior Asisten Komisioner R. Rajagopal.
Berdasarkan Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) 1MDB menyatakan, keputusan membabitkan kewangan, keselamatan dan dasar negara adalah di bawah Perdana Menteri, yang ketika itu adalah Najib.
Saksi itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan semula oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi semalam.
Antara tahun 2015 dan 2018, Rajagopal menjalankan siasatan berhubung pecah amanah jenayah yang didakwa membabitkan Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB dan tidak menyiasat Najib.
Perbicaraan 1MDB hanya membabitkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Najib.
Selain itu, saksi tersebut menyatakan, Najib mempunyai kuasa untuk menolak sebarang keputusan kewangan yang dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB sekiranya keputusan tersebut memberikan kesan besar kepada negara.
Muhammad Shafee: (Berdasarkan siasatan anda), adakah anda menentukan sama ada Najib boleh menolak untuk menandatangani dokumen Lembaga Pengarah (BOD) menolaknya sebagai pemegang saham tunggal?
Rajagopal: Dia boleh menolak.
Muhammad Shafee : Apa yang berlaku jika dia enggan?
Rajagopal: Dalam memorandum & artikel persatuan (M&A) 1MDB, apa-apa yang mempunyai implikasi kepada negara mesti dibawa kepada Perdana Menteri (Najib) untuk kelulusan atau sekatannya. Jika dia enggan, ia perlu kembali kepada lembaga pengarah dan kembali kepada pemegang saham 1MDB. Mereka perlu memuaskan hati pemegang saham mengapa mereka memerlukan kelulusan.
Sepanjang perbicaraan, ditunjukkan bahawa Najib memegang tiga peranan utama dalam 1MDB iaitu pemegang saham tunggal dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan adalah sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan, Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Perdana Menteri pada masa itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.










