PETALING JAYA: Malaysia perlu meneroka pasaran baharu selain memuktamadkan segera Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) khususnya dengan Kesatuan Eropah (MEUFTA) bagi menangani kesan tarif timbal balik dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ia bagi memastikan akses berterusan ke pasaran bernilai tinggi serta memperluas jejak perdagangan global Malaysia.
Selain itu katanya, ia penting bagi melindungi daya saing eksport negara terutama dalam sektor-sektor utama yang terdedah kepada ketidaktentuan perdagangan global.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperluaskan kerjasama dengan pasaran bukan tradisional dan pasaran baharu di rantau Asia Barat, Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin sebagai langkah mempelbagaikan asas eksport negara.
“Negara juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran utama sedia ada. Berdasarkan risiko yang bakal dihadapi, saya menyokong penuh tumpuan kerajaan untuk memperluaskan jejak perdagangan global Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan AS akan mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia apabila Presiden Donald Trump mengumumkan langkah-langkah baharu yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.
Thian Lai berkata, kempen advokasi yang disasar perlu dilaksana bagi serlahkan komitmen Malaysia terhadap dasar perdagangan liberal, amalan berasaskan peraturan dan penglibatan aktif dalam inisiatif serantau seperti Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).
“Dengan rekod kerjasama Malaysia yang kukuh dalam bidang strategik seperti semikonduktor, daya tahan rantaian bekalan kritikal, peralihan kepada tenaga bersih dan perdagangan digital termasuk melalui IPEF, saya berharap AS akan mempertimbangkan pendekatan yang lebih seimbang demi menjaga kepentingan ekonomi bersama,” katanya.
Beliau juga menekankan keperluan tingkatkan sokongan domestik kepada pengeksport negara bagi membantu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan global.
“Antaranya pengenalan semula Geran Promosi Jenama serta bantuan tambahan untuk pensijilan eksport dan ujian luar negara yang diperlukan bagi memenuhi piawaian ketat negara-negara seperti AS.
“Walaupun tarif yang dikenakan memberi cabaran besar, namun dengan gabungan sokongan dasar yang tepat, kepelbagaian pasaran serta penyesuaian industri yang proaktif, sektor pembuatan Malaysia mampu kekal berdaya tahan dan terus berkembang dalam landskap perdagangan global yang semakin kompleks,” katanya. –UTUSAN










