Tanaman getah skala besar bermula di Melaka

Tanaman getah skala besar bermula di Melaka

MANNDZRI Nasib (dua dari kiri) bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menyampaikan sumbangan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA 2025 di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memulakan projek tanaman getah berskala besar bermula di Melaka.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, bagi projek tersebut, sasaran tanaman diletakkan sebanyak 5,000 hektar setahun.

Katanya, setakat ini hanya Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik cadangan itu dan kini dalam proses undang-undang untuk pendudukan tanah sebanyak 200 hektar.

“Surat-surat advokasi kita sudah hantar kepada kerajaan-kerajaan negeri. Kita masih menunggu maklum balas sebab tanah memang urusan kerajaan negeri.

“Sebab banyak syarikat swasta sudah berhenti menanam getah, jadi RISDA rasa sampai masanya kita memiliki aset sendiri, selain daripada menguruskan sekitar 510,000 pekebun kecil getah seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA 2025 di sini, hari ini.

Tambah Manndzri, pihaknya turut mengharapkan penglibatan Kerajaan Negeri Johor yang dilihat berpotensi tinggi dalam penjualan getah.

Katanya, penanaman semula pokok itu juga disasarkan kepada beberapa buah negeri lain termasuk Pahang dan Perak.

“Kita buka untuk semua tapi setakat ini hanya Melaka yang sudah sahut. Jadi, negeri yang saya harapkan ialah negeri saya sendiri iaitu Johor. Saya tengok Johor ada potensinya dan hari ini pun harga getah yang tertinggi berada di Johor,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN