Sultan Pahang buat nota aduan rakyat

Sultan Pahang buat nota aduan rakyat

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar dengan rakyat jelata ketika Kembara Pahang 1.0 di Pekan, semalam. – IHSAN KESULTANAN PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Setiap aduan rakyat diterima Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Program Kembara Pahang 1.0 di daerah Maran, Temerloh, Bera dan Pekan yang berakhir Rabu lalu direkodkan oleh baginda untuk tindakan lanjut.

Al-Sultan Abdullah mengakui menerima pelbagai aduan daripada rakyat seperti jalan yang perlu dinaik taraf dan isu rumah persendirian.

“Semua (aduan) ini saya akan buat nota ya,” titah baginda ketika ditemui selepas berkenan berangkat mengakhiri perjalanan Program Kembara Pahang 1.0 di Pantai Lagenda di sini.

Program Kembara Pahang 1.0 bermula Isnin lalu melibatkan empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan berakhir di Pekan di sini.

Berkenan berangkat sama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan setulus rasa penghargaan buat semua yang terlibat dalam Kembara Pahang 1.0.

Sultan Pahang turut menzahirkan rasa terharu dengan kesetiaan rakyat yang menanti kehadiran baginda dan keluarga terutamanya di tepi jalan di sepanjang laluan kembara.

“Alhamdulillah, saya teru­ja dengan sambutan kerana mereka telah menyambut di tepi jalan di kampung-kampung walaupun dalam cuaca panas, cuaca hujan dan ramai juga tunggu begitu lama sekali ada empat jam, lima jam, dan saya kena berhentilah, takkanlah tak berhenti orang tua-tua tunggu, orang muda, budak-budak sekolah.

“Saya berterima kasih kepada yang menunggu saya, keluarga dan rombongan dan minta maaf kalau kita tidak dapat menyantuni begitu lama kerana kena kejar dengan masa tapi insya-Allah kalau umur panjang saya akan kunjung lagi ke kampung-kampung di situ,” titah baginda.

Ditanya perancangan siri Kembara Pahang seterusnya, baginda bertitah bahawa, hasil post mortem Kembara Pahang 1.0 kelak akan dapat membantu menentukan perancangan program seterusnya, sekali gus memperbaiki perkara-perkara penting.

“Kita akan kaji dulu (buat) post mortem seperti yang saya kata hari itu, post mortem daripada sini (Kembara Pahang 1.0) dan kita akan perbaiki lagi program ini, kita tidak mahu rakyat tunggu begitu lama sangat, dan sebagainya dan kita akan kaji dan insya-Allah saya akan pergi ke daerah daerah lain,” titah baginda yang turut menyifatkan kembara ini adalah salah satu ruang untuk tuanku memeriksa keadaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN