PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2024-2025, Edisi Ke-98.
Seri Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyokong setia JDT yang sentiasa memberikan sokongan padu tidak kira di mana pasukan itu beraksi sama ada di dalam negara mahupun di pentas antarabangsa.
Baginda bertitah, kehadiran penyokong yang tidak pernah luntur semangat merupakan antara faktor penting yang membakar semangat para pemain untuk terus mencapai kejayaan demi kejayaan.
“Tidak kira JDT beraksi sama ada di dalam negara mahu pun luar negara, penyokong sentiasa hadir memberikan sokongan mereka.
“Mereka menjadi sumber inspirasi dan kekuatan buat pasukan dalam menyemarakkan semangat juang serta menjadi suntikan motivasi untuk terus melakar kejayaan,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu hantaran di laman Facebook, semalam.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan syabas kepada anakanda baginda, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT atas komitmen dan kepimpinan cemerlang dalam membawa kelab itu ke tahap tertinggi.
“Pelbagai kejayaan cemerlang dikecapi JDT di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa serta mengharumkan nama Johor di persada dunia,” titah Baginda.
JDT terus mempertahankan trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam. – UTUSAN