Suami isteri diberkas, edar dadah ‘parti’

Suami isteri diberkas, edar dadah ‘parti’

SITI Nor Salawati Saad menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri disyaki pengedar dadah diberkas setelah polis menemukan pelbagai jenis dadah yang popular untuk berparti termasuk jenis sintetik MDMA bernilai kira-kira RM189,644 dalam serbuan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pasangan berusia 50-an itu ditahan pada pukul 3 petang di sebuah rumah, di sini. 

Beliau tidak menafikan, ia melibatkan kes pertama pengedaran dadah jenis MDMA di daerah ini yang dikatakan semakin meraih perhatian dalam kalangan penghibur kelab malam atau pusat hiburan di daerah ini untuk ‘bergoyang’. 

“Dalam serbuan ini, kami berjaya merampas sebanyak 10,340 biji pil Eramin 5, dengan anggaran berat 2.8 kilogram (kg). 

“Selain itu, turut dirampas adalah satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin, dengan anggaran berat 0.5 kg, serta serbuk dadah disyaki jenis MDMA, dadah sintetik yang banyak digunakan di pusat hiburan dengan berat anggaran 0.4 kg.

“Dadah ini berpotensi untuk dibekalkan kepada kira-kira 3,200 orang penagih di sekitar Alor Setar. Dalam serbuan ini juga, kami menyita wang tunai berjumlah RM530, yang dipercayai diperoleh hasil aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, hasil saringan awal ke atas kedua-dua suspek mendapati lelaki berkenaan yang juga dalang kes itu positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. 

“Lelaki itu juga mempunyai lima rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Manakala isterinya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 Mei, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya serta Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta),” katanya.

Siti Noor Salawati memberitahu, modus operandi suspek adalah mengedar dadah berkenaan kepada ‘tokan’ di sekitar daerah ini.

“Dadah ini berkemungkinan untuk kegunaan ‘private party’ atau di pusat hiburan. Seperti biasa, ia dicampur dalam minuman perisa tertentu, dalam bentuk jus yang mana jika diuji air kencing, akan menunjukkan positif methamphetamine atau sintetik ‘ice’.

“Kami menasihatkan supaya sesiapa yang berhibur di tempat seperti ini berhati-hati kerana dadah ini mudah dimasukkan ke dalam minuman dan mempunyai pelbagai perisa seperti epal, strawberi dan laici,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN