KUALA LUMPUR: Lapan individu termasuk dua wanita Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar heroin seberat 357.8 gram, minggu lalu.
Tertuduh-tertuduh ialah M. Puvanesvaaran, 29; R. Kalaiarasu, 30; M. Mughilan, 26; KS. Surrendran, 24; S. Satish Kumar, 30; Loke Jun Mun, 34 serta dua wanita warganegara Indonesia, Ananda, 30 dan Devi Ekaputri Karokaro, 38.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret llli Marisqa Khalizan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang menganggur didakwa bersama-sama mengedar dadah bahaya disyaki heroin seberat 357.8 gram di sebuah kondominium di Jalan Chan Sow Lin, Cheras, di sini, pada pukul 8.30 pagi, 15 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri manakala peguam bela, Yong Jei Beng mewakili kesemua tertuduh lelaki manakala tertuduh wanita tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia. – UTUSAN










