Struktur perjawatan, latihan bantu atasi kekurangan doktor pakar

Struktur perjawatan, latihan bantu atasi kekurangan doktor pakar – Lukanisman

LUKANISMAN Awang Sauni (tengah) ketika bercakap kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Kesihatan (KKM) yakin struktur perjawatan dan latihan kepakaran sedia ada mampu mengatasi isu kekurangan doktor pakar dalam negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, buat masa ini, kerajaan sedang melaksanakan penstrukturan jawatan dalam KKM, di samping meluluskan perjawatan tetap kepada 800 doktor pakar setiap tahun sejak 2023.

“Dengan penstrukturan ini dan melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan laluan kepakaran alternatif atau ‘parallel pathway’, kita yakin dapat melahirkan lebih ramai pakar dari dalam negara sendiri.

“Kita sebenarnya mempunyai keupayaan dan bekalan yang mencukupi serta mempunyai satu sinergi antara perkhidmatan kesihatan awam dan swasta,” katanya pada majlis perasmian program Miracle Baby MBP (misi kedua) di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Lukanisman berkata demikian ketika mengulas mengenai isu kekurangan doktor pakar di hospital atau klinik kerajaan yang turut disumbangkan oleh penurunan pendaftaran doktor dan doktor pelatih saban tahun, selain trend pemberhentian doktor pelatih.

Menurut Lukanisman, sebanyak 692 pakar kini sedang mengikuti laluan ‘parallel pathway’, manakala seramai 6,211 pegawai perubatan sedang menjalani latihan kepakaran. Pada masa yang sama, negara juga telah menyediakan 1,650 slot latihan pakar setiap tahun.

Tambah beliau, pindaan Akta 50 turut membuka laluan kepada lebih banyak pengiktirafan terhadap laluan kepakaran alternatif yang sebelum ini menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pengamal perubatan.

Katanya, isu kekurangan pakar turut dilihat dari aspek ketidakseimbangan agihan (maldistribution), dan KKM kini sedang meneliti keperluan sebenar mengikut bidang serta lokasi.

“Permintaan dari Sabah dan Sarawak untuk membawa pakar dari Semenanjung dengan tawaran insentif khas juga sedang dipertimbangkan. Ini termasuk juga cadangan membawa pakar dari luar negara, sesuatu yang pernah dilakukan dan kini sedang diperhalusi,” katanya.

Selain itu, Lukanisman berkata, sektor swasta turut berperanan dan mampu menjadi rakan strategik penting KKM dalam menampung keperluan kepakaran negara.

“Ketika Covid-19, kita mengalih keluar sumber dan beberapa perkhidmatan kepakaran kepada hospital swasta. Pengalaman ini sememangnya menunjukkan potensi kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan terbaik,” katanya.

Tambah Lukanisman, KKM juga sedang memperhalusi dasar ‘future-ready’ untuk menjamin kesinambungan khidmat pakar pada masa hadapan, termasuk mengoptimumkan kepakaran sedia ada selain mewujudkan model baharu kerjasama antara sektor awam dan swasta.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN